SERDANG, 27 Sept (Bernama) -- Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) di sini.
PBS diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Dr Zulkornain Yusop manakala MIHRM diwakili Timbalan Presidennya Dr Henry Yeoh.
Zulkornain dalam ucapannya berkata MoU itu untuk kedua-dua pihak bekerjasama rapat dalam pembangunan fakulti PBS bagi menyampaikan kelayakan MIHRM, dan ini juga termasuk menyediakan sokongan teknikal seperti sesi latihan kepada pelatih.
"Kami juga akan mengusahakan pengiktirafan yang sesuai untuk PBS sebagai rakan pembelajaran yang diluluskan MIHRM serta kerjasama dalam projek penyelidikan yang bersesuaian," katanya.
Beliau berkata MoU itu juga untuk mengemaskini keperluan pensyarah PBS berkenaan topik dan trend pada masa akan datang dalam profesion pengurusan sumber manusia.
Bercakap kepada Bernama kemudiannya, Zulkornain berkata lima modul daripada MIHRM akan diajar kepada pelajar PBS untuk mendedahkan mereka kepada dunia sebenar.
"Bagaimanapun, kami masih menunggu kelulusan akhir program ini daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia. Kami berharap kelulusan diperoleh menjelang November ini dan program itu dapat diteruskan pada Januari tahun depan," katanya.
PBS, yang dahulu dikenali sebagai Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan merupakan sekolah perniagaan lepasan ijazah swasta terletak di UPM.
Untuk keseimbangan antara teori dan amalan, kursus PBS yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dipermudahkan oleh pengamal industri dan ahli akademik.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment